PENGENALAN KOLEJ KOMUNITI HULU LANGAT

Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) mula beroperasi sejak Mac 2003 dengan menumpang di Sekolah Menengah Teknik Kajang, ketika itu menawarkan dua kursus iaitu Sijil Penyejukan dan Penyamanan Udara dan Sijil Teknologi Maklumat. Pada Julai 2006, Unit Teknologi Maklumat telah berpindah ke bangunan sewa Plaza Citra, Kajang. Pada tahun 2008, Program Diploma Pengurusan dan Penyelenggaraan Fasiliti telah dilaksanakan dalam bentuk “Work Based Learning” namun ditangguhkan pada tahun 2010. Pada 5 Mei 2009, Kolej Komuniti Hulu Langat telah berpindah ke Prima Saujana, Kajang. Bangunan yang mempunyai keluasan Lot 1502 meter persegi ini mempunyai kemudahan seperti bilik kuliah, dewan kuliah, bengkel, makmal komputer, perpustakaan, bengkel masakan, bengkel jahitan dan beberapa kemudahan lain. Kursus Sepenuh Masa yang ditawarkan di sini adalah Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara (SPU)Sijil Teknologi Maklumat (STM) dan Sijil Pengoperasian Perniagaan (SPP).

Berikutan itu, KKHL memiliki Perancangan Strategik yang tersendiri yang disediakan berasaskan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan sepuluh (10) lonjakan yang perlu difahami, dihayati dan direalisasikan untuk mencapai matlamat setiap lonjakan. Berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang tiga belas (13) tahun, KKHL berhasrat untuk menggerakkan segala kekuatan yang ada untuk melonjak ke satu tahap yang baru ke arah mencapai visi 

“Institusi TVET dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Yang Unggul Menjelang Tahun 2020”

Institusi Unggul yang dihasratkan adalah berdasarkan kepada enam (6) kriteria iaitu graduan berketerampilan, kecekapan sistem, tenaga kerja kompeten, kolaborasi industri, memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan TVET. Ini dapat diterjemahkan kepada pencapaian KKHL dalam meningkatkan kadar graduan yang boleh diambil bekerja, graduan yang menceburi bidang keusahawanan, telah mencapai status COTT dalam bidang tujahan, tenaga kerja yang mempunyai pengalaman industri, kolaborasi penuh program pengajian dengan industri,kepelbagaian kursus PSH dan institusi mendapat pengiktirafan badan bertauliah. Semoga cabaran besar yang perlu ditempuhi oleh semua warga KKHL untuk melonjakkan KKHL ke tahap tersebut dapat dilaksanakan dengan sokongan semua pihak terutama komuniti setempat yang sentiasa bersama dengan KKHL.